Sunday, June 24, 2007

Kelab Pencegah Jenayah

Sungai Petani-Statistik kadar jenayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang semakin meningkat setiap tahun mendorong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan Kelab Pencegahan Jenayah di setiap sekolah.

Sejak mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran pada tahun 1999 hingga kini, sebanyak 1470 buah Kelab Pencegahan Jenayah telah ditubuhkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Karnival Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah-sekolah Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah yang dirasmikan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani siang tadi berjaya mengumpulkan ahli-ahli Kelab Pencegahan Jenayah dari kesemua 33 buah sekolah di daerah tersebut.

Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye bersama Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali turut melawat gerai-gerai pameran oleh agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam sidang media selepas merasmikan karnival tersebut, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye berkata objektif utama Kelab Pencegahan Jenayah ini adalah tertumpu kepada penekanan aspek pendidikan dan pencegahan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar-pelajar sekolah mengenai bahayanya terlibat dengan aktiviti jenayah.