Wednesday, June 13, 2007

USM Yakin Negara Mampu Tarik 100,000 Pelajar Asing Pada 2010

PULAU PINANG-Universiti Sains Malaysia (USM) yakin negara mampu menarik kemasukan 100,000 pelajar asing menjelang 2010 kerana Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) mempunyai mekanisme promosi dan sistem penyampaian yang berkesan untuk mencapai matlamat itu.

Timbalan Naib Canselor USM (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Rosihan M.Ali, berkata beliau percaya gabungan mantap kedua-dua IPTA dan IPTS di negara ini boleh merealisasikan matlamat berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Education Service Coordination International (ESCI) (M) Sdn Bhd, Datuk Syed Hussein Al-Habshee, bahawa usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk menarik pelajar asing itu mungkin gagal kerana kelemahan IPTA.

Pada Ahad lepas, Syed Hussein, berkata negara mungkin tidak dapat mencapai sasaran itu sekiranya IPTA di negara ini tidak mengatasi beberapa masalah kritikal seperti sistem penyampaian yang lemah, kelewatan memproses permohonan pelajar dan taktik promosi yang lapuk.

Dalam kenyataannya kepada Bernama di sini, Rosihan berkata andaian itu tidak tepat kerana kebanyakan IPTA mempunyai skim promosi yang baik, program pengantarabangsaan universiti yang hebat serta sistem penyampaian yang berkesan.(BERNAMA)