Sunday, June 17, 2007

PM Tidak Mahu Kampus Universiti Malaya Dipindahkan

KEPALA BATAS-Perdana Menteri hari ini mahu kampus Induk Universiti Malaya (UM) kekal di tempat asal sedia ada iaitu di Lembah Pantai di ibu kota.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kampus yang ada sekarang ini sudah mencukupi untuk menampung keperluan pelajar dan jika ada keperluan pihak UM boleh membuka kampus cawangan di tempat lain.

"Kawasan itu, kawasan yang secukupnya untuk UM beroperasi. Kalau boleh, saya nak kampus itu dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Merdeka di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan syarikat hartanah, Guocoland (M) Berhad membuat tawaran untuk memindahkan universiti itu ke Sepang dan membangunkan tapak kampus sekarang sebagai pusat komersil dan perumahan menerusi projek yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Rancangan itu bagaimanapun dibantah oleh Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan mahasiswa universiti itu.

Perdana Menteri berkata UM telah menjadi universiti yang cukup bermakna kepada negara dan telah berjaya menghasilkan ramai siswazah yang kini berkhidmat dalam sektor awam dan swasta.

"UM merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama diwujudkan di negara ini dan memang banyak berjasa kepada negara," katanya.

Ketika ditanya kenapa baru sekarang pihak berkenaan mahu mengambil alih kawasan itu, Abdullah berkata: "Mungkin pihak itu melihat faedah yang boleh diperolehi dari segi nilai komersil kawasan itu".

Sebagai seorang daripada bekas graduan UM, Abdullah berkata secara peribadi beliau juga tidak mahu UM berpindah ke kawasan lain.

Perdana Menteri juga berkata beliau sebelum ini tidak ada mendengar sebarang cadangan untuk memindahkan kampus UM itu ke tempat lain.(BERNAMA)