Saturday, June 16, 2007

Nelayan Sungai Kecewa Karenah Birokrasi Jabatan Perikanan

Pulau Pinang-Hampir 100 Nelayan Sungai di Tanjung Berembang Daerah Nibong Tebal kecewa dengan kerenah birokrasi Jabatan Perikanan Bukit Mertajam. Menurut nelayan terbabit Jabatan perikanan telah mengeluarkan arahan pada tahun 2000 yang lalu supaya nelayan-nelayan sungai yang mempunyai lebih dari 2 batang joran perlu memohon lesen bot dari Jabatan Perikanan.

Akur dengan arahan tersebut semua nelayan sungai daerah itu telah memohon bagi mendapatkan lesen sepertimana yang diarahkan.Tetapi malangnya setelah enam tahun menunggu proses permohonan lesen berkenaan, nelayan-nelayan terbabit hanya diberikan lesen sementara dan sehingga sekarang ini mereka masih belum mendapat sebarang lesen bot yang sah seperti mana yang dijanjikan, malah lesen sementara yang diberikan sebelum ini pula tidak lagi boleh diperbaharui.

Menurut mereka lagi masalah tersebut pernah mendapat perhatian Yb Hj Fuad Bin Hj Mat Isa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Perikanan Putrajaya melalui surat bertarikh 7Hb Mac 2007 yang lalu yang memberi kebenaran untuk membaharui lesen tersebut tetapi malangnya apabila dirujuk kepada Jabatan Perikanan Bukit Mertajam,mereka kemudiannya diarah membuat permohonan lesen baru.

Nelayan terbabit mendakwa mereka tidak boleh memohon bantuan subsidi minyak disebabkan tidak mempunyai lesen bot yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.Mereka juga kesal kerana selama ini nelayan-nelayan sungai terbabit telah dilantik sebagai “KONTEK” kepada Jabatan Perikanan sehingga tahun 2010 yang berperanan sebagai mata dan telinga Jabatan Perikanan untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada penyelewengan dan masalah nelayan sedangkan mereka sendiri diberikan lesen yang tidak diiktiraf.