Saturday, June 9, 2007

Sisa Toksid Musnah Ternakan Kerang Kuala Sungai Juru.

Pulau Pinang - Lebih 200 nelayan di Kuala Juru, Seberang Perai mengalami kemerosotan hasil ternakan kerang sebanyak 70 peratus berikutan pemendapan lumpur yang semakin menebal di muara sungai berkenaan.

Kemerosotan hasil kerang yang dialami sejak 20 tahun lalu adalah disebabkan oleh ancaman pencemaran sisa toksik dari kilang berhampiran dan kemusnahan hutan bakau di kawasan berkenaan yang menyebabkan makanan kerang terancam dan berkurangan.Mereka juga mendakwa benih kerang yang baru juga banyak yang telah mati akibat daripada pencemaran tersebut.

Menurut Abd.Latif Bin S.Mohd Pengerusi Projek Ternakan Kerang Kuala Juru, pencemaran Sungai Juru adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti sisa-sisa buangan industri dari kawasan perindustrian berdekatan, sisa-sisa buangan dari pasar basah, sisa-sisa buangan rumah berhampiran sungai, air kumbahan dan buangan dari kawasan perumahan. Kawasan kediaman termasuk rumah-rumah setinggan di sepanjang Sungai Juru yang tidak dilengkapkan dengan sistem kebersihan dimana sisa-sisa buangan rumah tangga dibuangkan terus-menerus ke dalam sungai manakala sistem perparitan yang dibina di tapak perindustrian juga terus disalurkan ke dalam sungai.

Menurut Halim Bin Mad Saad AJK Projek Ternakan Kerang Kuala Juru berkata “jika masalah ini tidak diatasi segera nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil ternakan tersebut akan putus sumber pendapatan pada masa depan”.Justeru mereka merayu tindakan segera Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membantu mereka mengatasi masalah tersebut sebelum kehidupan mereka menjadi lebih perit dan terpaksa menggandakan usaha hanya bagi mendapatkan nafkah yang sama sahaja seperti dulu untuk menyara hidup.

Tinjauan kami mendapati dakwaan nelayan terbabit memang ada asasnya.Bahan buangan daripada kilang berhampiran dibuang terus kedalam sungai yang membawa semua sisa-sisa buangan tersebut ke Kuala Sungai Juru.Air daripada sisa buangan tersebut menjadi hitam pekat dan bercampur minyak dengan bau yang busuk.