Friday, June 1, 2007

Polis Siasat Unsur Khianat Kes Kebakaran Ragut Lima Nyawa

IPOH-Polis akan mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi berhubung dakwaan wujudnya unsur khianat dalam kes kebakaran di Taman Soon Chun, Gunung Rapat di sini semalam, yang meragut nyawa lima sekeluarga termasuk dua warga emas.

Ketua Polis Ipoh, ACP Jalaluddin Ibrahim, berkata kes itu yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan."Belum ada suspek ditahan dan polis masih menunggu keputusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai punca sebenar kejadian itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jalaluddin berkata punca dan motif kejadian itu dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Yang mati dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi semalam terdiri Chai Kim, 91, anak lelakinya Chai Kar It, 67, cucu perempuannya Chai Moi Fong, 32, suami Moi Fong, Tan Wei Lim, 32 serta sepupu mereka Lim Kien Hua, 29. Seorang lagi anggota keluarga itu cedera dan dimasukkan ke Hospital Ipoh.

Beberapa jiran mendakwa ternampak sebuah kereta Perodua Kancil putih berada di hadapan rumah berkenaan sejurus sebelum berlakunya kebakaran.

Bapa kepada Wei Lim, Tan Bin Keong, 65, turut mendakwa menantunya (Moi Fong) yang pernah berkahwin dan bercerai sebelum ini telah mengadu pernah menerima ancaman.(BERNAMA )