Sunday, June 3, 2007

Pakaian Jadi Isu Pada Mesyuarat MCA Bahagian Tanjung

PULAU PINANG-Mesyuarat Agung MCA Bahagian Tanjung hari ini kecoh gara-gara seorang anggota jawatankuasa bahagian itu menghadiri mesyuarat dengan memakai baju ala "kungfu" dan bukannya pakaian seragam parti berkenaan.

Kehadiran Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota Lee Hack Teik menarik perhatian Ketua Bahagian itu, Dr Loh Hock Hun, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Terubong kerana Lee memakai baju putih berlengan panjang, berleher ala Cheongsam dan berbutang Cina.

Ketika merasmikan mesyuarat itu, Loh menegur perwakilan supaya menghormati parti dengan memakai pakaian seragam yang ditetapkan MCA dengan sempurna iaitu berbaju kemeja dan berseluar panjang berwarna putih bagi lelaki dan berbaju kuning air serta berseluar panjang warna hitam bagi wanita.
Ketika ditemui pemberita, Loh berkata beliau terkejut melihat penampilan Lee yang memakai pakaian ala "taoisme" yang digunakan untuk bersembahyang di tokong ke mesyuarat tahunan itu.

"Saya tidak puas hati kerana mesyuarat ini diadakan setahun sekali. Mengapa dia tidak boleh pakai seragam parti kerana dia bukan ahli biasa tetapi seorang wakil rakyat. Saya tak mahu perkara ini nanti menjadi ikutan kepada ahli yang lain dan jejaskan imej parti," katanya.

Loh berkata setiap anggota termasuk wakil rakyat dan pemegang jawatan di dalam parti harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan MCA selama ini iaitu "MCA Code of Conduct", "Code of Conduct for Elected Representatives" dan "General Guidelines for Candidates for MCA Public Offices".

"Saya buat teguran ini bukan atas sifat peribadi dan harap dia faham bahawa kalau mahu datang mesyuarat, kita mesti pakai pakaian yang sesuai. Saya belum pernah tengok orang pakai pakaian selain seragam ketika menghadiri mesyuarat agung parti sama ada di peringkat bahagian mahu pun kebangsaan," katanya.

Loh berkata beliau akan menulis surat kepada MCA Negeri mengenai perkara itu dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Lee yang ditemui ketika hendak meninggalkan mesyuarat sebaik sahaja majlis perasmian selesai, berkata beliau tidak melakukan apa-apa yang menyalahi garis panduan parti.

Katanya adalah tidak salah baginya berpakaian sedemikian kerana tiada ketetapan dibuat mengenai potongan baju sebaliknya hanya menyatakan bahawa pakaian seragam parti mestilah berbaju dan seluar panjang berwarna putih.

"Dia tak cakap itu baju mesti ada satu poket kah, tiga poket kah atau empat poket. Yang penting semua mesti warna putih," katanya.

Lee menjelaskan bahawa sebelum menghadiri mesyuarat itu, beliau telah menghadiri satu upacara keagamaan di sebuah tokong Cina di Jelutong dan pakaian itu dirasakan sesuai dengan kedudukannya selaku Pengerusi Biro Agama MCA Pulau Pinang.

Beliau, bagaimanapun, kesal kerana pakaiannya dijadikan isu pada mesyuarat kali ini sedangkan mereka sepatutnya membincangkan perkara yang lebih serius seperti cara memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat serta soal pembangunan parti dan negara.

"Pada saya ini bukan isu dan kalau dia (Loh) bawa perkara ini ke peringkat negeri atau pusat, dia sendiri yang akan malu. Sepatutnya kita mahu selesai agenda parti bukan soal pakaian saya," katanya.

Ditanya sama ada beliau kecil hati dengan teguran itu, beliau dengan sinis menjawab: "Saya tak rasa malu, saya tak marah tapi saya senyum saja. Jangan kerana perkara kecil, kita cepat marah, nanti kalau sakit jantung sudah tak boleh pilihan raya. Sebagai Ketua Bahagian, kalau isu kecilpun nak kecoh, susahlah.

"Pada mesyuarat itu, beberapa resolusi dikemukakan antaranya menggesa Kementerian Pelajaran untuk terus menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar bagi subjek Sains dan Matematik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi sekolah-sekolah Cina pada tahun 2008.(BERNAMA)