Friday, June 1, 2007

KETUA MENTERI SEMPURNAKAN MAJLIS PERASMIAN SUKAN PULAU PINANG KE-3 (SUKPEN III 2007)

Bagi memenuhi tuntutan kerajaan dalam menghasilkan atlet-atlet muda yang berkebolehan dalam bidang sukan, Kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri telah menganjurkan Sukan Pulau Pinang ke-3 (SUKPEN III) 2007 bermula dari 1hb Jun 2007 hingga 10hb Jun 2007 ini.

Tujuan utama penganjuran kejohanan ini adalah bagi mencari atlet-atlet muda yang berbakat dan berkebolehan bagi mewakili negeri seterusnya mewakili negara dalam mana-mana acara sukan yang dipertandingkan di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Memandangkan had umur bagi menyertai SUKPEN III 2007 hanya ditetapkan kepada atlet-atlet yang berumur di bawah 20 tahun sahaja, okjektif utama Majlis Sukan Negeri sudah tentunya bagi mencari atlet-atlet mewakili Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Terengganu tahun hadapan.

SUKPEN III 2007 berjaya mengumpulkan lebih daripada 4000 atlet dan pegawai yang akan berentap dalam 26 acara yang dipertandingkan bagi mewakili kesemua lima daerah yang terdapat di Pulau Pinang.

Kejohanan ini telah dibuka dengan rasminya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di Stadium Bandaraya pagi tadi. Ketua Menteri Pulau Pinang turut melepaskan beberapa ekor burung sebagai simbolik perasmian SUKPEN III 2007.

Majlis perasmian disempurnakan dengan perarakan masuk bendera kejohanan dengan diiringi paluan pancaragam dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

Bacaan Ikrar Kejohanan diketuai oleh Mohd Rafiq Abd Rahim yang merupakan atlet boling padang mewakili Daerah Seberang Perai Selatan yang dipertanggungjawabkan sebagai tuan rumah bagi kejohanan pada tahun ini.