Thursday, June 21, 2007

Penduduk tagih janji

GUAR CHEMPEDAK-Setiap kali hujan lebat turun maka setiap kali itulah penduduk-penduduk kampung batu 17, Guar Chempedak, Kedah diselubungi kebimbangan rumah mereka akan dilimpahi air daripada parit berhampiran rumah mereka.

Menurut penduduk, Parit Kilik JKR di tepi jalanraya persekutuan menghala ke Alor Setar itu adalah di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masih tidak ubah sepertimana semasa ianya mula dikorek sebelum merdeka dahulu walaupun Negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 pada tahun ini.

Menurut penduduk lagi, walaupun isu mengenai sistem perparitan di situ saban tahun dikemukakan oleh penduduk kampung kepada Pejabat Daerah Yan melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan juga kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut namun sehingga hari ini masih tiada sebarang usaha yang dibuat untuk menangani masalah terbabit.

Tinjauan kami ke kawasan yang dimaksudkan mendapati masih terdapat beberapa buah rumah yang dilimpahi air daripada parit tersebut kesan daripada hujan lebat yang turun sehari sebelum itu. Air parit juga didapati tidak mengalir selain daripada dipenuhi dengan pokok-pokok air dan juga sampah sarap. Beberapa peniaga yang mengusahakan perniagaan berhampiran parit tersebut turut meluahkan kekesalan disebabkan terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan barang-barang setiap kali air parit melimpah memasuki premis mereka.


Justeru penduduk melalui Jawatan Kuasa Kampung (JKKK) terbabit menuntut janji-janji yang telah diberikan sebelum ini dengan harapan akan adanya satu alternatif dibuat bagi membolehkan air parit tersebut dialirkan ke Terusan Wan Mat Saman yang terletak di seberang jalan berkenaan