Thursday, June 21, 2007

Orang Ramai Dipelawa Sertai Ujian Pemilihan Cyclethon Antarabangsa

IPOH-Orang ramai yang berminat dipelawa menyertai ujian pemilihan ke cabaran Cyclethon Antarabangsa Malaysia-Eropah tahun depan, yang akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Malaysia (KEM) Zulkifli Arbi berkata ujian dibuka kepada mereka yang berumur antara 18 dan 50 tahun, dan mereka yang berminat perlu mendaftar diri untuk menjalani ujian itu di kompleks berkenaan dengan bayaran RM50 seorang.

"Antara lain ia membabitkan ujian bertulis mengenai Malaysia, ujian kecergasan dan mengayuh basikal sejauh 80 km dalam masa lima jam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata 24 peserta yang terpilih nanti akan menjalani latihan pusat di Ipoh pada setiap hari Sabtu dan Ahad selama enam bulan, dan mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenainya boleh menghubungi beliau dengan menelefon 012-5200992 atau Riduan Nordin di nombor 016-5179878.

Zulkifli berkata Cyclethon Antarabangsa Malaysia-Eropah yang berlangsung dari 15 Jan hingga 15 Feb 2008 itu akan meliputi perjalanan sejauh 2,650 km yang bermula dari Lisbon, Portugal dan berakhir di Paris, Perancis.

"Selain Lisbon, para peserta akan turut berkayuh melalui Madrid, Zaragoza, Barcelona, Marseile, Lyon dan Dijon," katanya.

Beliau berkata mereka juga akan melalui kawasan banjaran seperti Sierra De Guadarama di Sepanyol, Pyrenness di sempadan Sepanyol-Perancis serta pinggiran Mont Blanc di Perancis."Para peserta dianggarkan akan berkayuh antara 80 dan 100 km setiap hari. Oleh itu, mereka yang menyertai acara tersebut perlulah sihat dan mempunyai kekuatan mental untuk berkayuh dalam cuaca sejuk," katanya.

Zulkifli berkata para peserta juga akan diminta mempromosikan pelancongan di Malaysia dengan mengedarkan risalah tentang negara selain mengadakan mini pameran kraftangan serta persembahan multimedia tempat-tempat menarik di Malaysia di setiap bandar yang disinggahi.

"Lebih RM500,000 diperlukan bagi menjayakan cyclethon antarabangsa itu dan saya berharap ada syarikat-syarikat korporat dapat tampil untuk menaja para peserta dan acara berkenaan," katanya.(BERNAMA)