Friday, June 22, 2007

Pensyarah Hasilkan Tepung Labu Manis Sebagai Pencegah Kanser

PULAU PINANG-Jika dahulu, roti yang diperbuat daripada cempedak ditemui sebagai penawar kepada penyakit kencing manis, kini satu lagi makanan terbaik untuk mengawal pengaktifan sel kanser dalam tubuh badan manusia ditemui, buah labu yang diproses menjadi tepung.

Pensyarah di Jabatan Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Noor Aziah Abdul Aziz berkata tepung yang diperbuat daripada labu manis didapati mengadungi kanji rentang untuk menghasilkan asid propionik.

Katanya asid itu menyebabkan serat berkenaan tidak dihadamkan dan ia memeram bakteria untuk melemahkan sel barah dalam tubuh badan.

"Asid propionik pula mengubah pengoksidan dan memeram bakteria dalam usus besar dan ini akan melemahkan sel-sel barah," kata beliau kepada pemberita selepas menerima pingat emas sempena penyertaan USM pada Ekspo Pameran Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 Mac lepas.

Beliau yang sering menjalankan kajian mengenai khasiat buah-buahan tempatan sebelum ini telah menemui roti cempedak sebagai penawar kepada penyakit kencing manis ekoran kandungan insulin yang baik.

Selain kandungan serat kanji rentang yang boleh melemahkan sel barah itu, Noor Aziah berkata labu manis juga mengandungi serat yang tinggi, pewarna semulajadi yang baik untuk dijadikan roti atau mi serta mengandungi vitamin A, anti oksigen dan mineral yang baik untuk kesihatan.
Katanya kaedah pembuatan tepung itu adalah dengan menggunakan isi labu manis yang dikeringkan sebelum dicampur dengan tepung gandum dan diproses menjadi tepung pelbagai guna.

"Saya juga sedang mengkaji penggunaan kulit dan biji buah labu manis itu dalam pembuatan tepung berkenaan," kata beliau.

Beliau berkata, tepung itu tidak mempunyai rasa buah malah ia boleh dimakan oleh semua golongan usia dan jantina.

"Kajian ini dapat membantu golongan petani untuk mempertingkatkan tanaman labu manis untuk diproses menjadi tepung dan dipelbagai gunakan kerana sebelum ini hanya dijadikan sayur dalam masakan harian," kata beliau.(BERNAMA)