Sunday, June 17, 2007

Mangsa Tsunami Kehilangan Harta Benda Dalam Kebakaran

PULAU PINANG-Lebih seratus orang yang pernah menjadi mangsa Tsunami pada 2004, tinggal sehelai sepinggang apabila lebih daripada 10 buah rumah hangus dalam satu kebakaran di perkampungan Tanjong Tokong di sini, hari ini.

Menurut seorang penduduk perkampungan itu, Mohd Salleh Yahya, 50, kebakaran yang bermula pada 10 pagi ini dipercayai bermula dari sebuah rumah yang disewa pekerja kontrak rakyat asing.

"Tak sampai 10 minit, api terus merebak dan banyak rumah kena (terbakar)," katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Menurutnya rumahnya juga nyaris terbakar sempat diselamatkan oleh anggota bomba yang bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak di kawasan yang padat dengan rumah itu.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati puluhan anggota bomba bertungkus lumus selama sejam bagi mengawal dan memadamkan api.

Setakat ini tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa diterima.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dijangka melawat mangsa dan tempat kejadian tengah hari semalam.

Dalam kejadian Tsunami pada Disember 2004, kawasan perkampungan itu yang menempatkan beribu rumah hampir musnah setelah dipukul ombak Tsunami.(BERNAMA)