Thursday, June 7, 2007

Kulim Hi-Tech Berjaya Tarik Minat Pelabur Luar

Kulim - Hi-Tech Park di Kulim, Kedah yang dipilih oleh Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan nadi perindustrian berteknologi tinggi yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang pertama di negara ini sehingga kini telah mampu menarik pelaburan daripada pelbagai pelabur terutamanya oleh syarikat multinasional termasuk dari Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, Singapura dan Asia Barat.
Kulim Hi-Tech Park yang telah dibuka pada tahun 1995 sehingga sekarang ini telah berjaya menarik minat pelabur-pelabur dari luar negara untuk melabur dengan jumlah pelaburan setakat ini telah mencapai nilai sebanyak RM 21 billion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sokongannya.

Pelaburan terbaru adalah daripada Fuji Electric Device Technologies Co Ltd yang bernilai RM 1 billion iaitu tambahan daripada pelaburan awal sebanyak RM 700 juta.

Secara Amnya, Kerajaan Negeri Kedah sejak tahun 2002 sehingga bulan April 2007 ini telah meluluskan sebanyak 279 projek kilang pembuatan di seluruh Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang ditemui ketika merasmikan pembukaan bangunan M2 Fuji Electric (Malaysia) Sdn Bhd pagi tadi menyatakan peningkatan jumlah pelaburan tersebut menunjukkan terdapatnya keyakinan daripada pelabur luar terhadap Kulim Hi-Tech Park dan juga Negeri Kedah amnya.
Majlis perasmian bangunan M2 Fuji Electric (Malaysia) Sdn Bhd yang telah dilaksanakan oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid turut dihadiri oleh Encik Akira Takai yang merupakan Presiden Fuji Electric Device Technologies Co Ltd

Sementara itu, di dalam sidang media yang sama, Menteri Besar Kedah turut mengumumkan pengisytiharan Pulau Langkawi sebagai salah satu daripada Geo Park di dunia yang akan dikenali sebagai Langkawi Geo Park.

Menurut beliau, UNESCO secara rasminya telah memberi sijil kepada Pulau Langkawi sebagai Geo Park pada 1hb Jun 2007 yang lalu dan turut merupakan Geo Park yang pertama di Rantau Asia Tenggara.

Permohonan kepada UNESCO untuk mendapatkan tafat Geo Park telah dibuat Kerajaan Negeri Kedah sendiri dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pejabat Daerah Langkawi, Jabatan Mineral & Geo Sains, Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sejak 31hb Mei 2006 yang lalu.