Wednesday, June 6, 2007

Penduduk Cherok Meranti Serah Memorandum Tuntut Pampasan.

Bandar Baharu - Penduduk Kampung Cherok Meranti yang mendakwa menjadi mangsa kerugian kerosakan harta-benda yang teruk akibat daripada aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu sebelum ini, telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Daerah Bandar Bharu/Serdang bagi menuntut ganti rugi setelah pihak Kerajaan Negeri dikatakan menolak semua tuntutan yang dituntut oleh penduduk terbabit.

Memorandum yang diserahkan melalui setiausaha Pegawai Daerah Bandar Bharu Encik Razuan Bin Osman hari ini bertujuan mendesak pihak Kerajaan Negeri membayar pampasan kepada penduduk yang terlibat dan melahirkan rasa tidak puas hati penduduk Cherok Meranti terhadap Kerajaan Negeri,Jabatan Hutan dan Pegawai Daerah Bandar Bharu/Serdang dalam melayani tuntutan berkenaan.
Menurut mereka aktiviti pembalakkan di kompakmen 26 di kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung bongsu itu telah menyebabkan kejadian banjir lumpur sehingga merosakkan beberapa buah rumah dan kawasan kebun buah dan getah. Banjir lumpur yang berlaku sebelum ini telah memberikan kesan buruk kepada penduduk kampung. Harta benda musnah dalam sekelip mata dan tanah-tanah kebun sudah tidak sesuai untuk digunakan lagi akibat tanah lumpur setebal 3 meter meliputi keseluruhan kebun. Akibatnya pokok buah-buahan dan sayuran yang ditanam sejak bertahun-tahun mahupun yang baru disemai mati dan menjejaskan pendapatan mereka.