Saturday, June 16, 2007

Kenduri Kesyukuran Sambut Pak Lah Meriah

Kepala Batas-Penduduk Kepala Batas, Pulau Pinang menyambut kepulangan pasangan pengantin baru, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dengan mengadakan majlis kenduri kesyukuran di perkarangan Masjid Al-Jamiul Badawi selepas solat jumaat siang tadi.

Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Jamiul Badawi dan Masjid Kampung Baru dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, TYT Tun Dato’ Seri Utama Hj Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Majimor Sharif dan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta isteri.

Dato’ Seri Abdullah serta TYT Tun Dato’ Seri Utama Hj Abdul Rahman Abbas turut menunaikan solat jumaat bersama-sama dengan jemaah lain di masjid tersebut.

Selesai solat jumaat, satu majlis bacaan yaasin serta tahlil diadakan dengan diketuai oleh imam besar masjid tersebut dan disusuli bacaan doa selamat oleh Mufti Pulau Pinang, Dato’ Haji Hassan Ahmad.

Majlis kenduri kesyukuran bagi meraikan Dato’ Seri Abdullah dan isteri itu berlangsung meriah walaupun dalam keadaan hujan renyai dengan penduduk sekitar keluar beramai-ramai bagi melihat sendiri wajah Perdana Menteri selepas melangsungkan perkahwinan.