Saturday, October 13, 2007

Kes Nurin Tiga Lelaki Dalam CCTV Hubungi Polis

Siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin telah mengubah haluan positif awal hari ini apabila tiga lelaki yang kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah menghubungi polis.

Mereka muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada tengah malam tadi bagi memperjelaskan kehadiran mereka di luar kedai tiga tingkat di No.31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya di mana mayat Nurin Jazlin, 8, ditemui dalam beg sukan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, mengesahkan bahawa ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah mereka yang muncul dalam segmen kedua rakaman CCTV itu yang disiarkan kepada awam oleh polis semalam.

Katanya lelaki berkenaan dalam lingkungan usia 30-an, dilihat keluar dari kereta Perodua Kenari berwarna perak pada 16 Sept lepas.

"Pegawai-pegawai saya telah mengambil kenyataan mereka. Bagaimanapun, seorang wanita berbaju merah dan jeans berwarna gelap masih belum menghubungi kami," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan berkata ketiga-tiga lelaki itu memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung rakaman CCTV itu sambil menjelaskan bahawa mereka tidak akan menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

Segmen pertama rakaman CCTV pada pukul 1 petang 16 Sept lepas menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg sukan jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Lelaki itu sambil membuat panggilan telefon dilihat berlegar-legar di kawasan itu dan lebih kurang dua minit selepas itu lelaki berkenaan dilihat mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkan beg itu di tepi tangga tingkat bawah premis itu lalu beredar dari kawasan berkenaan.

Mengenai gambar bedah siasat mayat Nurin Jazlin yang disebarkan dalam internet, Wan berkata siasatan sedang dijalankan.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini.BERNAMA