Thursday, October 11, 2007

Polis Edar Rakaman CCTV Kepada Media Untuk Disiarkan Kepada Awam

UNTUK DIKENALPASTI… Rakaman imej menunjukkan seorang wanita berpakaian baju merah dan tiga lelaki sedang keluar dari sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak di kawasan premis No. 31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya dimana mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, ditemui pada 16 Sept lepas. Pic: PDRM






Polis hari ini mempertontonkan dan mengagihkan kepada media salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi diedarkan pula kepada orang awam dengan harapan ia dapat membantu penyelesaian kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8.
Rakaman CCTV itu telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Washington, Amerika Syarikat pada 27 Sept lepas untuk menghasilkan "enhancement" yang terbaik sebelum dibawa pulang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata pihaknya mengambil keputusan untuk menyiarkan rakaman tersebut kepada awam dengan tujuan untuk mendapat maklumat dan juga kerjasama dari individu-individu yang terdapat di dalam rakaman itu, bagi membantu siasatan.

"Kita harap mana-mana pihak yang mungkin mengenali individu-individu tersebut untuk tampil memberikan maklumat dan kerjasama," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Imej CCTV itu menunjukkan seorang lelaki bermotosikal dan seorang wanita bersama-sama tiga lelaki menaiki sebuah kereta.

Rakaman pada 16 September lepas, pukul 1 petang itu menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg pakaian jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Lelaki itu sambil membuat panggilan telefon dilihat berlegar-legar di kawasan premis No.31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya di mana mayat Nurin Jazlin ditemui di dalam beg sukan sama seperti yang dibawa lelaki itu.

Lebih kurang dua minit selepas itu lelaki berkenaan dilihat mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkan beg itu di tepi tangga tingkat bawah premis berkenaan lalu beredar dari kawasan terbabit.

Sejam kemudian kelihatan imej seorang wanita berbaju merah sedang menunggu sebuah kereta di tepi premis terbabit.

Dua minit selepas itu kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Kenari berwarna perak bersama-sama tiga orang lelaki menghampiri kawasan wanita terbabit berdiri.

Seorang lelaki memakai baju bercorak belang kelihatan keluar dari kereta bersama seorang lagi rakan yang memakai baju berwarna kuning dan berseluar pendek lalu meninggalkan tempat tersebut bersama-sama wanita terbabit.

Wan berkata wanita yang dilihat di dalam rakaman tersebut merupakan wanita seperti fotofit yang dikeluarkan pada 2 Oktober lalu.

"Mengenai lelaki bermotosikal itu dengan fotofit lelaki yang kita edarkan lalu mungkin orang yang berbeza," katanya.

Ditanya mengenai wanita Indonesia yang dibebaskan semalam, Wan berkata wanita tersebut telah diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.

"Kita dapati wanita tersebut hanya terlibat dengan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibu bapa Nurin Jazlin dan Rakan Cop," katanya.

Semalam polis membebaskan wanita Indonesia yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan kejam Nurin Jazlin kerana polis tidak mempunyai bukti kukuh yang cukup untuk mendakwanya di mahkamah.

Ketika ditanya mengenai gambar bedah siasat mayat Nurin Jazlin yang disebarkan di dalam internet, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

"Kalau ada orang dalam hospital yang buat kita akan siasat.

"Saya minta sesiapa yang menerima gambar-gambar tersebut tolong jangan sebarkan ia. Hormatilah kedua-dua ibu bapa mangsa," katanya.BERNAMA