Monday, October 1, 2007

Laut Bergelora,OPS Mencari Mangsa Ditangguh

Kuala Muda, Kedah - Operasi menyelamat yang masuk hari ketiga pada hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak mengizinkan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, PB1 Sakumoning Hj Ismail yang ditemui di tempat operasi menjelaskan operasi yang sepatutnya bermula jam 9.30 pagi tadi terpaksa ditangguhkan setelah mendapat arahan daripada pihak Polis Marin yang tidak membenarkan bot-bot kecil turun ke laut disebabkan keadaan laut yang bergelora.

Menurutnya lagi, 2 pegawai bersama dengan 10 anggota daripada Balai Bomba Sungai Petani dan Tikam Batu yang terlibat dalam operasi tersebut hanya menjalankan operasi meninjau di sekitar pantai berhampiran.

Operasi menyelamat tersebut juga turut disertai Pasukan JPA 3 dari Butterworth, Pulau Pinang yang menghantar 2 pegawai bersama dengan 15 anggota bagi membantu mempercepatkan operasi mencari mangsa lemas terbabit.

Sebanyak 5 buah bot penyelamat digunakan dalam operasi tersebut.

Tinjauan Harian Utara di kawasan tersebut setakat jam 4.00 petang tadi mendapati anggota-anggota penyelamat hanya diletakkan dalam keadaan bersedia disebabkan keadaan laut yang masih bergelora dan agak berbahaya kepada bot-bot kecil.

Walau bagaimanapun, beberapa kumpulan nelayan tetap meneruskan usaha mencari dengan menggunakan 4 buah bot yang lebih besar dan keluar menjalankan operasi sejak pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengahari Sabtu lalu, seorang pesara tentera, Johari Saad, 44 tahun yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu hilang selepas dikatakan cuba menyelamatkan anaknya Mohd Aswad, 18 tahun, yang terjatuh ke dalam laut selepas dipukul ribut kencang ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan kira-kira tiga kilometer dari jeti pendaratan ikan di Kampung Tepi Sungai, Kuala Muda.

Sebagai rekod, kejadian seumpama itu merupakan kejadian yang kedua berlaku dalam bulan tersebut selepas seorang nelayan, Zakaria Abd Rahman ditemui mati lemas selepas botnya karam dipukul ribut juga di kawasan yang sama pada 16 September lalu.