Sunday, October 7, 2007

Mangsa Tsunami Patut Berpindah Ke Rumah Tetap - PM

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua penghuni rumah penempatan sementara mangsa tsunami supaya terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan mengapa mereka masih belum dibenarkan berpindah ke rumah tetap yang disediakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata mereka sememangnya patut berpindah dan memasuki rumah baru yang ditawarkan jika telah memenuhi syarat dan layak memiliki rumah berkenaan.

"Siapa yang layak dan penuhi syarat sepatutnya sudah boleh masuk (rumah baru)... tunggu apa lagi?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada fakir miskin anjuran Umno Bahagian Kepala Batas di sini.

Beliau berkata penduduk terlibat seharusnya menghubungi pihak berkuasa dengan segera dan nyatakan sebab-sebab mereka layak untuk berpindah ke rumah baru.

Mangsa-mangsa tsunami tiga tahun lepas di negeri ini masih ditempatkan di rumah panjang sementara di sekitar Tanjung Bungah sedangkan kawasan perumahan tetap siap dibina sejak 22 Feb lepas.

Mereka telah dijanjikan untuk berpindah ke rumah baru sejak bulan lepas tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat dikatakan tidak ada persepakatan dalam menentukan harga rumah kos rendah itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri mahu harga rumah itu ditetapkan pada RM42,000 tetapi Kerajaan Pusat dikatakan mempertahankan harga iaitu RM52,000.

Dr Koh berkata kerajaan negeri telah mengemukakan usul supaya kesemua mangsa dipindah masuk terlebih dahulu sementara perbincangan untuk memutuskan harga bagi 100 unit pangsapuri di kawasan Tanjung Bungah ditentukan. BERNAMA