Monday, October 15, 2007

Suruhanjaya Diraja Harus Ditubuhkan - Majlis Peguam

Majlis Peguam Malaysia semalam menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya memberi tumpuan kepada isu memulihkan kredibiliti badan kehakiman berbanding tumpuan kepada peguam dan mereka yang membuat pendedahan atau pemberi maklumat.

Presidennya Ambiga Sreenevasan berkata isu itu bukan sesuatu yang baru kerana majlis itu sentiasa membuat gesaan bagi memperkukuhkan badan kehakiman namun tiada tindakan atau inisiatif diambil.

"Apa yang penting ialah mesej yang disampaikan semasa ahli-ahli majlis berarak di Putrajaya bulan lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri di portal berita yang menyelar tindakan peguam sebagai "gila" kerana menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap badan kehakiman negara dengan berarak dari bangunan Istana Kehakiman ke pejabat Perdana Menteri pada 26 September lepas.

"Saya tidak ingin bertelingkah dengan menteri itu oleh kerana saya mempunyai hubungan kerja yang baik dengannya tetapi dalam isu ini, saya ingin untuk tidak bersetuju dengannya kerana sebelum ini dia juga menyatakan bahawa Majlis Peguam berkelakuan seperti sebuah parti pembangkang," katanya.

Ambiga berkata perarakan untuk keadilan oleh lebih 2,000 peguam pelbagai umur, gender, bangsa dan status profesionalisme membuktikan bahawa mereka memandang isu ini dengan begitu tegas.

"Isu badan kehakiman sudah lama wujud dan perarakan itu bukan semata-mata mengenai klip video," katanya.

Menurut Ambiga, perarakan itu adalah cubaan untuk menarik perhatian kepada isu-isu yang lebih besar berhubung kepentingan memperkasakan badan kehakiman.

"Kami mahu sebuah badan kehakiman kelas pertama serta kukuh di mana kami mampu mencapainya," katanya.

Ambiga berkata terdapat bilangan ramai hakim yang ikhlas dan berkerja keras dan "kami berhak untuk memiliki sebuah institusi yang bebas dari skandal."

Beliau juga berkata adalah salah untuk mengabaikan pandangan yang diluahkan oleh mereka yang menyertai perarakan tersebut, di mana tindakan itu menerima banyak sokongan dari orang awam.

"Kami di Majlis Peguam amat berasa bahawa sebuah suruhanjaya diraja harus ditubuhkan, sama seperti apa yang kerajaan lakukan untuk pasukan polis. Motif kami hanyalah untuk melihat kewujudan sebuah badan kehakiman yang kukuh....apa salah dengan itu?, " katanya. (Bernama)