Sunday, October 14, 2007

Remaja Putus Tiga Jari Akibat Mercun

ALOR STAR-Seorang remaja yang cuba menghasilkan mercun dengan kuasa letupan lebih kuat terputus tiga jari tangan kirinya apabila mercun itu meletup di tangannya pada pagi Hari Raya di Kampung Pong Manis, Kuala Nerang.

Mohd Faizal Ibrahim, 13, dikatakan cuba menghasilkan mercun berkuasa menggunakan beberapa mercun bola yang tidak meletup yang dikutipnya di tepi jalan.

Bagaimanapun belum sempat dia menyalakan sumbu dua mercun bola yang dicantumkannya, ia meletup menyebabkan tiga batang jarinya cedera teruk.

Bapanya, Ibrahim Othman, 50, yang ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star (HSB) hari ini berkata keluarganya sedang sibuk membuat persiapan Hari Raya apabila mereka terdengar satu letupan kuat dalam bilik Mohd Faizal pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Kami meluru ke biliknya dan terkejut melihat tiga jari tangan kiri Mohd Faizal berlumuran darah dan cebisan daging terlerai dari tulang jarinya manakala dua orang abangnya hampir pengsan melihat kejadian itu," katanya yang menyara keluarga sebagai petani.

Ibrahim berkata beliau tidak pernah membenarkan anak-anaknya bermain mercun atau membelinya walaupun bunga api.

Mohd Faizal dikejarkan ke HSB untuk diberi rawatan dan keadaannya hari ini dilaporkan stabil.

Menurut petani itu tiga daripada empat orang anaknya termasuk Mohd Faizal yang tamat darjah enam tahun lepas terpaksa berhenti dari meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.

Mereka kini membantunya mengerjakan ladang dan bimbang akan masa depan Mohd Faizal setelah kehilangan tiga jari.(Bernama)