Monday, October 29, 2007

Nanas Manis Ditanam Besar-besaran Di Kuala Muda

SUNGAI PETANI-Daerah Kuala Muda di sini dijangka menjadi pengeluar utama nanas manis jenis Moris apabila lebih banyak kawasan tanah terbiar diusahakan dengan tanaman itu.
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin yang juga anggota Parlimen Merbok, berkata projek tanaman nanas itu di kawasan seluas lebih 100 hektar di Mukim Teloi Kiri yang disertai 59 petani secara kelompok telah menghasilkan tiga juta biji nanas.
Bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Pejabat Daerah Kuala Muda di sini, beliau berkata Jabatan Pertanian Daerah Kuala Muda telah membantu petani untuk mengusahakan tanaman nanas secara komersial mulai tahun 2003.
Zainuddin berkata jabatan itu telah mengenal pasti tanah-tanah terbiar untuk dijadikan ladang nanas kerana projek tanaman kontan itu adalah mudah dan ia tidak memerlukan sistem saliran air.
Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda Ahmad Bukhori Abdul Rahman berkata projek tanaman nanas itu telah mendapat perhatian Lembaga Pembangunan Nanas kerana nanas yang dihasilkan di Kedah adalah antara yang terbaik.
"Jika dahulu, nanas hanya ditanam di tanah gambut, sekarang dengan teknologi baja dan kaedah tanaman yang moden membolehkan nanas subur di tanah merah dan tanah mineral," katanya.(BERNAMA)

Friday, October 26, 2007

Muka Baru Kuasai Skuad Takraw Ke Korat

LANGKAWI-Skuad sepak takraw kebangsaan akan menampilkan ramai pemain baru bagi berentap pada Sukan SEA di Korat, Thailand, Disember ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Haris Abdul Rahman berkata, daripada 22 anggota pasukan kebangsaan itu, hanya dua muka lama masih dikekalkan iaitu Zulhafizazuddin Roslan dan Sulaiman Salleh.

Katanya 20 muka baru itu termasuk pemain yang sedang mencipta nama iaitu Mohd Arif Busu dan Mohd Hamikhairi Mohd Roslan.

Pasukan kebangsaan sedang menjalani latihan khas di sini bagi memantapkan semangat berpasukan.

"Daripada segi permainan, kita tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Thailand yang sering menjadi penghalang kita", katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kompleks Sukan Langkawi di sini.

Pada Sukan SEA yang lepas di Manila, Malaysia meraih emas acara regu.

Haris berkata Malaysia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya memasuki separuh akhir dalam kesemua acara sepak takraw yang dipertandingkan iaitu berpasukan, beregu, antara regu dan hoop takraw.

Thailand, Indonesia dan Myanmar dilihat sebagai pencabar terkuat."Laos juga perlu diberi perhatian kerana pasukan itu sedang meningkat," kata Haris.

Sukan SEA Korat akan berlangsung dari 6 hingga 15 Dis.(BERNAMA)

Empat Didakwa Lakukan Penyelewengan Di IKBN Perlis

KANGAR-Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bekas pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat perakuan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk IKBN Kuala Perlis.
Keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad dalam mahkamah yang penuh sesak.
Bekas Pengarah IKBN Kuala Perlis Razali Ismail, 56, Penolong Pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS, Zulkefli Abdullah, 40, dan Pegawai Teknikal Kejuruteraan Awam KBS Mohamad Rozaini Yusoff, 41, dituduh menandatangani dokumen yang mengandungi butiran palsu itu pada 28 Oktober, 2005.
Pengurus Pemasaran Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Saifuddin Tamkin, 39, pula dituduh bersubahat dengan ketiga-tiga mereka dengan menyedari bahawa mereka telah menandatangani dokumen perakuan pembelian 144 kamera digital kodak CX7430 USA tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan, pada tarikh yang sama.
Wan Norzanuar membenarkan masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport antarbangsa mereka diserah kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 4 Disember ini untuk tarikh sebutan semula kes itu bagi kesemua tertuduh.
Kesemua mereka membayar ikat jamin itu.
Mohamad Rozaini diwakili peguam Izwan Saiful Ishak dan Saifuddin diwakili peguam N. Shanmugavadivelan manakala Razali dan Zulkefli tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) Saiful Ezral Ariffin.
Terdahulu, keadaan kecoh seketika berlaku di luar mahkamah apabila puluhan kakitangan IKBN yang berkumpul di situ cuba menghalang tugas wakil-wakil media ketika kesemua tertuduh dibawa masuk ke mahkamah.(BERNAMA)

Tuesday, October 16, 2007

Kanak-Kanak Empat Tahun Tidak Sedarkan Diri Terkena Mercun Sesat

Alor Setar - Seorang kanak-kanak berumur empat tahun mengalami pendarahan serius di kepala akibat terkena letupan mercun sesat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama bapanya di Jalan Kuala Kedah semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam apabila mangsa, Mohd. Firdaus Zahari, dari Teluk Kechai, membonceng motosikal yang ditunggang bapanya, Zahari Abdul Rahman 45,yang dalam perjalanan pulang dari berhari raya di rumah ibu saudara mereka.

Menurut Zahari,ketika dalam perjalanan, mereka terpandang sekumpulan budak sedang bermain mercun di tepi jalan utama tetapi tidak mengendahkan gelagat mereka lalu meneruskan perjalanan bersama anak bongsunya sehinggalah terdengar letupan kuat di belakangnya dan diikuti dengan jeritan anaknya.Setelah diperiksa Zahari mendapati kelopak mata Firdaus telah luka dan terus membawanya pulang ke rumah tetapi dia tidak berhenti-henti meraung kesakitan.

Tambah Zahari, apabila melihat kelopak mata kanan anaknya semakin membengkak dia terus membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tetapi keadaan menjadi semakin serius sehingga anaknya tidak sedarkan diri.

Jelasnya lagi, doktor memaklumkan Mohd. Firdaus mungkin mengalami pendarahan dalaman dan kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan pakar awal pagi tadi.

Monday, October 15, 2007

Rumah Terbuka Perdana Menteri Di Dewan Melenium Meriah

Kepala Batas - Rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah di Dewan Milenium, disambut meriah oleh ribuan rakyat dari utara tanah air.

Kegembiraan rakyat utara begitu teserlah apabila berpeluang bersalaman dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri selain menikmati pelbagai juadah Aidilfitri di 168 gerai makanan dan minuman yang disediakan di rumah terbuka Perdana Menteri.

Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang tadi, dihadiri rakyat Malaysia pelbagai kaum dan lapisan masyarakat termasuk pemimpin negara dan negeri.

Antara orang kenamaan yang menghadiri rumah terbuka itu adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, timbalannya Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Bin Kassim dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.Turut hadir adalah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.



Penduduk Perak Gagal Jelas Tunggakan Cukai Bakal Hilang Tanah

IPOH - Penduduk di Negeri Perak yang belum menjelaskan cukai tanah berjumlah RM143.8 juta setakat 31 Julai lepas akan menghadapi kemungkinan tanah mereka dirampas. Pejabat tanah di Ipoh, Manjung dan Batu Gajah mencatatkan tunggakan terbesar masing-masing sebanyak RM45.6 juta, RM21 juta dan RM17.3 juta.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali bagi mengatasi masalah tunggakan hasil itu, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif seperti membuat pembersihan data tunggakan dari semasa ke semasa, memperkemas alamat terkini pemilik tanah, mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik tanah yang tidak menjelaskan cukai dan mengadakan kutipan luar bagi memudahkan pemilik tanah membayarnya tanpa perlu hadir ke pejabat tanah.

Menurutnya lagi Kerajaan negeri juga telah menyediakan kemudahan bayaran cukai melalui perbankan internet dengan kerjasama Maybank, dan rundingan telah dibuat dengan pihak Pejabat Pos dan Bank Islam bagi menggunakan kemudahan e-commerce bagi tujuan itu. Lanjutan itu Kerajaan negeri telah mengeluarkan 111 notis untuk merampas tanah yang cukainya tidak dibayar kepada pemilik tanah yang mempunyai tunggakan besar.

Suruhanjaya Diraja Harus Ditubuhkan - Majlis Peguam

Majlis Peguam Malaysia semalam menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya memberi tumpuan kepada isu memulihkan kredibiliti badan kehakiman berbanding tumpuan kepada peguam dan mereka yang membuat pendedahan atau pemberi maklumat.

Presidennya Ambiga Sreenevasan berkata isu itu bukan sesuatu yang baru kerana majlis itu sentiasa membuat gesaan bagi memperkukuhkan badan kehakiman namun tiada tindakan atau inisiatif diambil.

"Apa yang penting ialah mesej yang disampaikan semasa ahli-ahli majlis berarak di Putrajaya bulan lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri di portal berita yang menyelar tindakan peguam sebagai "gila" kerana menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap badan kehakiman negara dengan berarak dari bangunan Istana Kehakiman ke pejabat Perdana Menteri pada 26 September lepas.

"Saya tidak ingin bertelingkah dengan menteri itu oleh kerana saya mempunyai hubungan kerja yang baik dengannya tetapi dalam isu ini, saya ingin untuk tidak bersetuju dengannya kerana sebelum ini dia juga menyatakan bahawa Majlis Peguam berkelakuan seperti sebuah parti pembangkang," katanya.

Ambiga berkata perarakan untuk keadilan oleh lebih 2,000 peguam pelbagai umur, gender, bangsa dan status profesionalisme membuktikan bahawa mereka memandang isu ini dengan begitu tegas.

"Isu badan kehakiman sudah lama wujud dan perarakan itu bukan semata-mata mengenai klip video," katanya.

Menurut Ambiga, perarakan itu adalah cubaan untuk menarik perhatian kepada isu-isu yang lebih besar berhubung kepentingan memperkasakan badan kehakiman.

"Kami mahu sebuah badan kehakiman kelas pertama serta kukuh di mana kami mampu mencapainya," katanya.

Ambiga berkata terdapat bilangan ramai hakim yang ikhlas dan berkerja keras dan "kami berhak untuk memiliki sebuah institusi yang bebas dari skandal."

Beliau juga berkata adalah salah untuk mengabaikan pandangan yang diluahkan oleh mereka yang menyertai perarakan tersebut, di mana tindakan itu menerima banyak sokongan dari orang awam.

"Kami di Majlis Peguam amat berasa bahawa sebuah suruhanjaya diraja harus ditubuhkan, sama seperti apa yang kerajaan lakukan untuk pasukan polis. Motif kami hanyalah untuk melihat kewujudan sebuah badan kehakiman yang kukuh....apa salah dengan itu?, " katanya. (Bernama)

Sunday, October 14, 2007

Remaja Putus Tiga Jari Akibat Mercun

ALOR STAR-Seorang remaja yang cuba menghasilkan mercun dengan kuasa letupan lebih kuat terputus tiga jari tangan kirinya apabila mercun itu meletup di tangannya pada pagi Hari Raya di Kampung Pong Manis, Kuala Nerang.

Mohd Faizal Ibrahim, 13, dikatakan cuba menghasilkan mercun berkuasa menggunakan beberapa mercun bola yang tidak meletup yang dikutipnya di tepi jalan.

Bagaimanapun belum sempat dia menyalakan sumbu dua mercun bola yang dicantumkannya, ia meletup menyebabkan tiga batang jarinya cedera teruk.

Bapanya, Ibrahim Othman, 50, yang ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star (HSB) hari ini berkata keluarganya sedang sibuk membuat persiapan Hari Raya apabila mereka terdengar satu letupan kuat dalam bilik Mohd Faizal pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Kami meluru ke biliknya dan terkejut melihat tiga jari tangan kiri Mohd Faizal berlumuran darah dan cebisan daging terlerai dari tulang jarinya manakala dua orang abangnya hampir pengsan melihat kejadian itu," katanya yang menyara keluarga sebagai petani.

Ibrahim berkata beliau tidak pernah membenarkan anak-anaknya bermain mercun atau membelinya walaupun bunga api.

Mohd Faizal dikejarkan ke HSB untuk diberi rawatan dan keadaannya hari ini dilaporkan stabil.

Menurut petani itu tiga daripada empat orang anaknya termasuk Mohd Faizal yang tamat darjah enam tahun lepas terpaksa berhenti dari meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.

Mereka kini membantunya mengerjakan ladang dan bimbang akan masa depan Mohd Faizal setelah kehilangan tiga jari.(Bernama)



UUM Anjur Bengkel Penyediaan Indeks Berkomputer

Sintok - PENERBIT Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan Bengkel Penyediaan Indeks Berkomputer pada 28 dan 29 Oktober ini di Kompleks Konvensyen, Kampus Sintok.

Pengarah Jabatan Perhubungan Awam, Mohd Zaini Nasri berkata, bengkel dua hari ini bertujuan memberi panduan dan bimbingan kepada peserta untuk menyediakan indeks buku dengan baik di samping membantu pengarang menyediakan manuskrip yang lengkap.

"Selain itu, program ini juga bermatlamat menggalakkan pembinaan judul yang lebih terancang dan berkualiti bagi menambah perolehan manuskrip untuk diterbitkan oleh Penerbit UUM," katanya.

Menurutnya lagi, bengkel tersebut akan dijalankan secara ceramah dan latihan yang akan dikendalikan oleh Pensyarah di Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Roosfa Hashim.

"Beliau adalah penceramah dalam bidang penerbitan meliputi penyuntingan, penyediaan indeks dan merombak tesis menjadi buku.

"Setiap peserta perlu membawa manuskrip masing-masing untuk sesi bengkel ini," ujar Mohd Zaini lagi.

Sepanjang bengkel ini peserta akan didedahkan dengan pengenalan indeks, memilih entri, prinsip asas dalam mengindeks, mengendalikan rujuk silang, mengindeks dengan pemproses perkataan - Microsoft Word, mengindeks dengan desktop publishing - Page Maker dan bengkel mengindeks dengan komputer.

Bagi mereka yang berminat bolehlah menghubungi Rosma Ishak di talian 04-9284146/04-9285702 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut.

Parti Gerakan Malaysia Diseru Kembali Kepada Perjuangan Asalnya

Parti Keadilan Rakyat dengan penuh ikhlas menyeru Parti Gerakan Malaysia dan ahli-ahlinya supaya kembali kepada perjuangan asalnya dengan meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai PKR demi bersama-sama berjuang untuk satu negara majmuk yang benar-benar berintegrasi dan bersatu-padu.

Seruan ini dibuat William J K Leong, Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat, dalam kenyataan medianya kepada SuaraKeadilan.com hari ini.

Menurutnya, seruan terbaru 250 000 ahli Parti Gerakan Malaysia supaya BN membentuk satu parti berbagai kaum sememangnya telah tidak diendahkan, dan akan terus terpinggir pada masa hadapan jua.

“Parti-parti utama Barisan Nasional terpaksa mengekalkan tekanan antara kaum demi mempertahankan kewujudan mereka sendiri. Oleh sebab itu, biarpun
retorik penyatuan sudah menjadi kelaziman, mereka tidak mungkin setuju untuk membentuk parti berbagai kaum.”

William memberi contoh perlembagaan UMNO, yang hanya membenarkan mereka yang berbangsa Melayu sahaja untuk menyertai parti itu; dan MCA yang keadaannya sama sahaja - mereka yang berbangsa Cina sahaja yang berhak menyertainya.

Pada hematnya, Gerakan sendiri pula gagal menarik ahli dari bangsa-bangsa lain - meskipun mereka menyifatkan parti mereka itu sebagai satu parti berbagai kaum, sememangnya Gerakan masihlah satu parti yang didominasi kaum Cina.

William membezakan situasi ini dengan PKR, yang benar-benar merupakan satu parti berbagai kaum.

“Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban - semua kaum di Malaysia ada wakilnya, dan kemajmukan ini diteruskan baik di akar umbi hinggalah ke Majlis Tertinggi sekalipun,” katanya lagi.

William berpendapat bahawa sudah tiba masa untuk Gerakan menilai kembali keadaannya, dan menyedari bahawa mereka perlu bekerjasama dengan kaum-kaum lain jika mereka benar-benar ingin menjadi satu parti berbagai kaum.

“Sejarah sudah jelas membuktikan bahawa UMNO, MCA, MIC dan BN sendiri tidak akan mengubah politik perkauman mereka. Pemimpin-pemimpin tersohor Gerakan, seperti Tun Lim Chong Yew, telah meninggalkan MCA dan Parti Perikatan kerana tidak tahan akan politik perkauman yang dipegang mereka,” tegas William.

Menurutnya lagi, Gerakan tidak tidak sepatutnya menyertai semula BN pada tahun 1972. Selepas 35 tahun, Gerakan masih lagi gagal mencapai sebarang kejayaan yang besar dalam usahanya membentuk integrasi antara kaum.

“Jika Gerakan terus berkecimpung di bawah bendera BN, maka peluang untuk mereka berjaya dalam masa 35 tahun yang akan datang ini amatlah tipis juga.”

William menegaskan bahawa selagi Gerakan berada di dalam BN, Gerakan akan sentiasa menjadi madu kepada MCA - walaupun sepatutnya menjadi satu parti berbagai kaum, Gerakan masih dilihat sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan kaum Cina, tetapi akan sentiasa di belakang MCA dalam percaturan perjuangan kaum Cina.(suarakeadilan.com)

RM7.5 Juta Untuk Bina Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

Alor Setar - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta untuk membina rumah golongan miskin di bawah program Penempatan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mereka yang terpilih diberikan peruntukan sebanyak RM5,000 setiap seorang bagi membina rumah sama ada di tanah milik sendiri atau sebagai perserta di penempatan projek PPRT yang disediakan kerajaan negeri.

"Lebih 60 peratus peruntukan itu telah dibelanjakan dan bakinya dijangka akan dapat dinikmati oleh golongan sasaran sebelum akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menubuhkan satu panel pemikir khas bagi mencari cara baru menyelesaikan masalah kemiskinan dari akar umbi dan mesyuarat pertama anggota panel yang terdiri daripada golongan profesional, korporat, ahli akademik dan pegawai kanan kerajaan akan diadakan sebelum akhir bulan ini.

Di Kedah, terdapat kira-kira 2,000 keluarga yang ditaktrif sebagai miskin tegar perlu dibantu, katanya.
BERNAMA

Saturday, October 13, 2007

Kes Nurin Tiga Lelaki Dalam CCTV Hubungi Polis

Siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin telah mengubah haluan positif awal hari ini apabila tiga lelaki yang kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah menghubungi polis.

Mereka muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada tengah malam tadi bagi memperjelaskan kehadiran mereka di luar kedai tiga tingkat di No.31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya di mana mayat Nurin Jazlin, 8, ditemui dalam beg sukan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, mengesahkan bahawa ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah mereka yang muncul dalam segmen kedua rakaman CCTV itu yang disiarkan kepada awam oleh polis semalam.

Katanya lelaki berkenaan dalam lingkungan usia 30-an, dilihat keluar dari kereta Perodua Kenari berwarna perak pada 16 Sept lepas.

"Pegawai-pegawai saya telah mengambil kenyataan mereka. Bagaimanapun, seorang wanita berbaju merah dan jeans berwarna gelap masih belum menghubungi kami," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan berkata ketiga-tiga lelaki itu memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung rakaman CCTV itu sambil menjelaskan bahawa mereka tidak akan menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

Segmen pertama rakaman CCTV pada pukul 1 petang 16 Sept lepas menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg sukan jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Lelaki itu sambil membuat panggilan telefon dilihat berlegar-legar di kawasan itu dan lebih kurang dua minit selepas itu lelaki berkenaan dilihat mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkan beg itu di tepi tangga tingkat bawah premis itu lalu beredar dari kawasan berkenaan.

Mengenai gambar bedah siasat mayat Nurin Jazlin yang disebarkan dalam internet, Wan berkata siasatan sedang dijalankan.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini.BERNAMA

Thursday, October 11, 2007

Polis Edar Rakaman CCTV Kepada Media Untuk Disiarkan Kepada Awam

UNTUK DIKENALPASTI… Rakaman imej menunjukkan seorang wanita berpakaian baju merah dan tiga lelaki sedang keluar dari sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak di kawasan premis No. 31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya dimana mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, ditemui pada 16 Sept lepas. Pic: PDRM






Polis hari ini mempertontonkan dan mengagihkan kepada media salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi diedarkan pula kepada orang awam dengan harapan ia dapat membantu penyelesaian kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8.
Rakaman CCTV itu telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Washington, Amerika Syarikat pada 27 Sept lepas untuk menghasilkan "enhancement" yang terbaik sebelum dibawa pulang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata pihaknya mengambil keputusan untuk menyiarkan rakaman tersebut kepada awam dengan tujuan untuk mendapat maklumat dan juga kerjasama dari individu-individu yang terdapat di dalam rakaman itu, bagi membantu siasatan.

"Kita harap mana-mana pihak yang mungkin mengenali individu-individu tersebut untuk tampil memberikan maklumat dan kerjasama," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Imej CCTV itu menunjukkan seorang lelaki bermotosikal dan seorang wanita bersama-sama tiga lelaki menaiki sebuah kereta.

Rakaman pada 16 September lepas, pukul 1 petang itu menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg pakaian jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Lelaki itu sambil membuat panggilan telefon dilihat berlegar-legar di kawasan premis No.31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya di mana mayat Nurin Jazlin ditemui di dalam beg sukan sama seperti yang dibawa lelaki itu.

Lebih kurang dua minit selepas itu lelaki berkenaan dilihat mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkan beg itu di tepi tangga tingkat bawah premis berkenaan lalu beredar dari kawasan terbabit.

Sejam kemudian kelihatan imej seorang wanita berbaju merah sedang menunggu sebuah kereta di tepi premis terbabit.

Dua minit selepas itu kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Kenari berwarna perak bersama-sama tiga orang lelaki menghampiri kawasan wanita terbabit berdiri.

Seorang lelaki memakai baju bercorak belang kelihatan keluar dari kereta bersama seorang lagi rakan yang memakai baju berwarna kuning dan berseluar pendek lalu meninggalkan tempat tersebut bersama-sama wanita terbabit.

Wan berkata wanita yang dilihat di dalam rakaman tersebut merupakan wanita seperti fotofit yang dikeluarkan pada 2 Oktober lalu.

"Mengenai lelaki bermotosikal itu dengan fotofit lelaki yang kita edarkan lalu mungkin orang yang berbeza," katanya.

Ditanya mengenai wanita Indonesia yang dibebaskan semalam, Wan berkata wanita tersebut telah diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.

"Kita dapati wanita tersebut hanya terlibat dengan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibu bapa Nurin Jazlin dan Rakan Cop," katanya.

Semalam polis membebaskan wanita Indonesia yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan kejam Nurin Jazlin kerana polis tidak mempunyai bukti kukuh yang cukup untuk mendakwanya di mahkamah.

Ketika ditanya mengenai gambar bedah siasat mayat Nurin Jazlin yang disebarkan di dalam internet, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

"Kalau ada orang dalam hospital yang buat kita akan siasat.

"Saya minta sesiapa yang menerima gambar-gambar tersebut tolong jangan sebarkan ia. Hormatilah kedua-dua ibu bapa mangsa," katanya.BERNAMA

Keperitan Warga Emas Uzur,Daif Menyara Cucu & Anak Cacat

Gurun - Walaupun hidup diselubungi kedaifan, seorang warga emas masih mampu membesar dan menjaga seorang anak perempuannya yang merupakan OKU dan juga 2 orang cucunya di Batu 5, Kampung Panjang, Gurun, Kedah

Lijah bt Sudin, 55 tahun yang menghidap penyakit lelah sejak kecil terpaksa menjaga anak perempuannya Siti Asiah Ghazali, 38 tahun seorang ibu tunggal bersama seorang anak lelaki Siti Asiah yang berumur 4 tahun selain daripada seorang lagi cucunya Badrul Hisham Abdullah, 11 tahun yang juga merupakan OKU dalam keadaan yang serba kekurangan.

Semasa tinjauan Harian Utara Online ke rumahnya yang terletak di dalam kebun getah, Lijah yang baru saja pulih daripada serangan penyakit lelahnya kelihatan masih lagi tidak bermaya tetapi terpaksa juga menjaga cucunya dan melakukan kerja-kerja rumah.

Lebih memilukan bila Siti Asiah yang kematian suami sejak 7 tahun lalu hanya tinggal di dalam sebuah pondok kecil di sebelah rumahnya serta tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja berat disebabkan keadaannya sebegitu dan hanya mengharapkan bantuan jiran-jiran dan juga bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan untuk meneruskan kehidupan mereka.

Paling menyedihkan, apabila cucu Senah, Badrul Hisham yang tidak pernah mengenali ibu bapanya sejak dia dilahirkan dan merupakan pelajar di Tahun 5 Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani kerap kali tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan keadaan hidup mereka yang serba kekurangan itu walaupun dia mempunyai keinginan untuk ke sekolah dan belajar bersama rakan-rakan sekelasnya.

Sekolah yang tidak mempunyai asrama dan terletak hampir 50 kilometer dari rumahnya menyebabkan Senah seringkali gagal menghantar Badrul ke sekolah kerana dia terpaksa mengeluarkan belanja yang agak banyak untuk membayar tambang menaiki 2 buah bas awam sebelum sampai ke sekolah.

Perihatin dengan masalah yang menimpa Badrul, beberapa orang guru Sekolah Kebangsaan Sungai Layar mengambil inisiatif dengan memohon bantuan daripada JKM bagi membantu meringankan bebannya dan bermula dari tahun ini Badrul telah menerima elaun pendidikan khas sebanyak RM50 sebulan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Layar, Hajah Saadah Saidin yang ditemui ketika menyampaikan sumbangan hari raya kepada Lijah sekeluarga berkata pihak sekolah akan membuat permohonan kepada Pejabat Pendidikan Daerah bagi membolehkan Badrul dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Jeniang bermula pada tahun depan bagi memudahkannya untuk ke sekolah.

Menurut beliau lagi, masalah kesukaran Badrul untuk ke sekolah boleh diselesaikan sekiranya permohonan untuk menukarnya ke Sekolah Kebangsaan Jeniang dapat dilaksanakan kerana selain daripada lokasinya yang lebih dekat iaitu hanya kira-kira 10 kilometer sahaja dari rumahnya, sekolah tersebut juga turut mempunyai kemudahan asrama.

Sementara itu, Lijah turut menyuarakan rasa syukur dan gembira dengan cadangan menukar cucunya ke sekolah yang lebih dekat dan mempunyai asrama kerana apa yang penting baginya ialah Badrul dapat meneruskan persekolah dengan sempurna dan belajar sepertimana pelajar-pelajar yang lain demi masa depannya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Lijah bt Sudin di alamat 93 B, Batu 5, Kampung Panjang, 08320 Jalan Jeniang, Kedah atau menyalurkan terus ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional Badrul Hisham Abdullah (Nombor Akaun: 02190-29-00015534-6)

Wednesday, October 10, 2007

Sivarasa Rasiah Akan Temui BPR esok

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Penyelaras Politik Anwar Ibrahim, Sim Tze Tzin sekali lagi akan hadir ke pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Wilayah Persekutuan pada jam 11 pagi esok berhubung pendedahan pita skandal Ketua Hakim Negara.

Sebelum ini, selepas pertemuan dengan BPR pada 4 Oktober lalu, mereka diugut supaya mendedahkan sumber video tersebut atau akan dikenakan tindakan.

Mereka menerima notis terakhir dari BPR minggu lepas yang menyatakan jika sumber video tersebut tidak didedahkan dalam 7 hari dan esok adalah hari terakhir, mereka boleh dipenjara selama dua tahun atau denda RM10,000.

Ketika dihubungi hari ini, Sivarasa berkata, mereka akan terbuka mengenainya tetapi menyuarakan keprihatinannya terhadap cara BPR menjalankan siasatan terhadap skandal itu yang telah menggegarkan badan kehakiman.

“Saya ragu dengan cara BPR menyiasat perkara ini. Jika mereka ingin tahu kesahihan klip video tersebut, cara pasti dan termudah ialah dengan mendapatkan pakar teknikal untuk mengesahkannya,” tambahnya.

Bagaimanapun, kata Sivarasa, BPR gagal berbuat demikian dan tetap mahu mendapatkan sumber klip video tersebut.(petikan www.suarakeadilan.com)

Tuesday, October 9, 2007

Rayuan Rumah PPRT


Mahang - BIARPUN keadaan tempat tinggal mereka tidak selesa, sebuah keluarga lapan beranak terpaksa juga tinggal di rumah tersebut untuk berteduh daripada panas dan hujan.

Menurut Ismail Hanafi 43, dari Kampung Ulu Mahang (A), Kulim, Kedah, dia sekeluarga terpaksa tinggal di rumah yang uzur itu kerana tidak mampu membina tempat tinggal yang lebih selesa lantaran tidak mampu menyimpan wang. Menurutnya dengan pendapatan yang tidak seberapa, hasil daripada mengambil upah menoreh getah, Ismail tidak mampu untuk menyimpan wang kerana terpaksa menggunakannya untuk belanja seharian termasuk perbelanjaan empat anaknya yang bersekolah dan dua anaknya yang masih kecil.

Menurut Ismail lagi rumah yang mereka duduki sekarang ini dibuatnya sendiri secara berperingkat dengan menggunakan duit zakat yang diterimanya setiap tahun setelah usaha untuk mendapatkan rumah daripada Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) tidak mendapat sebarang jawapan sehingga sekarang.

Isterinya Noorhayati Wahab 35, berharap, ada pihak dapat menghulurkan bantuan supaya mereka sekeluarga dapat berlindung daripada panas dan hujan dalam keadaan lebih selesa terutama anak-anaknya yang bersekolah demi masa depan.

Tinjauan Harian Utara Online ke rumah mereka mendapati keadaan rumah keluarga itu hanya berdindingkan papan lapis yang sudah uzur dan zink yang sudah berkarat.Manakala keadaan di dalam rumah pula hanya berlantaikan tanah yang dilapik dengan tikar getah buruk. Sementara di bahagian dapur rumah itu pula keadaannya terlalu daif dan serba kekurangan. Keluarga itu menggunakan bekalan air masyarakat yang diambil dari bukit berdekatan dengan kampung itu untuk membersihkan diri,membasuh pakaian dan memasak.

Monday, October 8, 2007

Mangsa Tsunami Dianiaya - Kata Setiausaha Agung PAS

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, namun nasib yang menimpa mangsa-mangsa tragedi Tsunami di Pulau Pinang, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, yang sehingga kini tidak dapat menduduki kediaman yang selesa seperti yang dijanjikan kerajaan sedangkan kawasan perumahan mereka siap dibina sejak 22 Februari lepas.

Lebih memburukkan lagi keadaan ialah, mereka dijanjikan untuk berpindah ke rumah baru sejak bulan lepas, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat dikatakan tidak ada persepakatan dalam menentukan harga rumah kos rendah itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dipetik sebagai berkata, bahawa kerajaan negeri mahu harga rumah itu ditetapkan pada RM42,000 tetapi Kerajaan Pusat dikatakan mempertahankan harga iaitu RM52,000.

Semakin pelik apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, meminta semua penghuni rumah penempatan sementara mangsa tsunami, supaya terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan mengapa mereka masih belum dibenarkan berpindah ke rumah tetap yang disediakan kerajaan.

Mengulas lanjut perkembangan ini Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar berkata, ketidaksepakatan antara Kerajaan Negeri dan Pusat serta sikap tidak serius PM ini, mengundang penganiayaan mangsa Tsunami yang sudah sekian lama bersabar menanti rumah yang dijanjikan tambahan pula mahu menyambut Aidilfitri tidak berapa lama lagi.

"PM atas kapasiti dan kuasa yang ada, sepatutnya mengarahkan pihak berkuasa dan kerajaan negeri menyelesaikan masalah bukannya memaksa mangsa Tsunami pula mencari puncanya.

"Kalau begitu tidak perlulah rakyat mengadu kepadanya, kerana dia tidak boleh buat apa-apa dan dilihat tidak berminat untuk membantu golongan yang teraniaya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.net sebentar tadi yang kini sedang berada di Tumpat, Kelantan dalam program bertemu rakyat.

Dolak-dalik dan sikap tidak serius PM ini adalah antara bukti bahawa Abdullah selama ini, begitu lemah dalam mentadbir negara yang semakin membimbangkan rakyat dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaannya dalam menangani isu-isu semasa terutama yang melibatkan nasib rakyat terhimpit.

Kata-kata Abdullah baru-baru ini bahawa, apa jua permasalahan mestilah didedahkan bukannya disembunyikan daripada pengetahuannya, biar pun sukar diterima, hanyalah tinggal omongan dan slogan kosong semata-mata sedangkan secara praktiknya beliau sendiri tidak mahu menyelesaikan dan mengahadapi masalah yang diajukan kepadanya seperti kes mangsa Tsunami ini, kata Kamaruddin.

"Sama ada Abdullah tidak berminat atau tidak faham isu, kedua-duanya merupakan sikap dan peribadi Perdana Menteri Malaysia yang begitu memalukan dan mengecewakan ramai.

"Bayangkan sehingga kini PM tidak berupaya mengeluarkan arahan tegas jauh sekali untuk mendengar keluhan rasa susah rakyat khususnya mangsa Tsunami yang datang daripada negeri asalnya Pulau Pinang. Yang hanya kedengaran hebat ialah emosi berang dan marahnya sahaja yang tidak membawa erti apa-apa," katanya.

Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata:"Siapa yang layak dan penuhi syarat sepatutnya sudah boleh masuk (rumah baru)... tunggu apa lagi?" katanya selepas menyampaikan bantuan kepada fakir miskin anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk terlibat seharusnya menghubungi pihak berkuasa dengan segera dan nyatakan sebab-sebab mereka layak untuk berpindah ke rumah baru.

Mangsa-mangsa tsunami tiga tahun lepas di negeri ini masih ditempatkan di rumah panjang sementara di sekitar Tanjung Bungah sedangkan kawasan perumahan tetap siap dibina sejak 22 Februari lepas. - mr (Petikan Harakah Daily)

Sunday, October 7, 2007

Mangsa Tsunami Patut Berpindah Ke Rumah Tetap - PM

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua penghuni rumah penempatan sementara mangsa tsunami supaya terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan mengapa mereka masih belum dibenarkan berpindah ke rumah tetap yang disediakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata mereka sememangnya patut berpindah dan memasuki rumah baru yang ditawarkan jika telah memenuhi syarat dan layak memiliki rumah berkenaan.

"Siapa yang layak dan penuhi syarat sepatutnya sudah boleh masuk (rumah baru)... tunggu apa lagi?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada fakir miskin anjuran Umno Bahagian Kepala Batas di sini.

Beliau berkata penduduk terlibat seharusnya menghubungi pihak berkuasa dengan segera dan nyatakan sebab-sebab mereka layak untuk berpindah ke rumah baru.

Mangsa-mangsa tsunami tiga tahun lepas di negeri ini masih ditempatkan di rumah panjang sementara di sekitar Tanjung Bungah sedangkan kawasan perumahan tetap siap dibina sejak 22 Feb lepas.

Mereka telah dijanjikan untuk berpindah ke rumah baru sejak bulan lepas tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat dikatakan tidak ada persepakatan dalam menentukan harga rumah kos rendah itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri mahu harga rumah itu ditetapkan pada RM42,000 tetapi Kerajaan Pusat dikatakan mempertahankan harga iaitu RM52,000.

Dr Koh berkata kerajaan negeri telah mengemukakan usul supaya kesemua mangsa dipindah masuk terlebih dahulu sementara perbincangan untuk memutuskan harga bagi 100 unit pangsapuri di kawasan Tanjung Bungah ditentukan. BERNAMA

Isu Klip Video,Siasatan Lebih Menyeluruh Kata Perdana Menteri

KEPALA BATAS - Siasatan mengenai kesahihan klip video kononnya mengandungi percakapan telefon antara seorang peguam dengan seorang dikatakan hakim mengenai pelantikan hakim-hakim, akan dilakukan secara menyeluruh, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan siasatan mengenai perkara yang didakwa dan tidak berhasrat untuk mengalih siasatan kepada perkara-perkara lain.

Beliau berkata, kadang-kadang orang menuduh kerajaan cuba mengalihkan siasatan apabila menjurus terhadap siapa perakam video itu tetapi ini bermaksud siasatan itu adalah secara menyeluruh.

"Masih ada siasatan lanjut mengenainya dan kita tidak sepatutnya membuat andaian seperti itu," kata beliau kepada pemberita di sini selepas menyampaikan bantuan fakir miskin sumbangan Umno Bahagian Kepala Batas.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini mengambil keterangan daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan bagi menentukan kesahihan klip video berkenaan.

Beliau adalah orang pertama yang mendedahkan klip video berkenaan.

Anwar dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan BPR berkata, beliau sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada badan tersebut.(Bernama)

Friday, October 5, 2007

Contohi Jamal Berhenti Menagih Dadah

SUNGAI PETANI - Penagih dadah yang ingin kembali ke pangkuan masyarakat haruslah mencontohi penyanyi Jamal Abdillah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan tabiat ketagihan dadah.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata beliau kagum dengan keberanian Jamal yang sanggup berusaha dengan pelbagai cara untuk meninggalkan dadah.

"Keberanian Jamal patut dicontohi penagih yang ingin kembali dalam masyarakat, Jamal berani membuat kenyataan dan mengakui kesilapan serta berusaha untuk berhenti mengambil dadah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi dan memberi bantuan peribadi kepada keluarga cacat tiga beradik di Kampung Sungkup, Bukit Selambau di sini hari ini.

Katanya Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa berusaha menjelaskan kepada rakyat mengenai bahaya dadah.

Zainuddin berkata Jamal pernah memberitahunya punca dia menagih dadah adalah kerana desakan promoter yang mahu penyanyi itu berjaya dalam sesuatu persembahan dengan menawarkan dadah kepadanya.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha membanteras dadah perlu dilakukan bersungguh-sungguh dengan memberikan penjelasan dan kursus khas kepada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.

"Walaupun tanggungjawab JKKK akan bertambah tetapi mareka perlu memainkan peranan ini dengan tegas sebagai usaha menyekat gejala pengambilan dadah terutama di kawasan luar bandar," katanya. BERNAMA

Polis Cadang Guna "Lorong Kontra" Elak Kesesakan

BUKIT MERTAJAM - Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun, berkata pihak polis mencadangkan agar "lorong kontra" digunakan di Jambatan Pulau Pinang bagi mengatasi kesesakan lalulintas sempena cuti Hari Raya Aidilfitri seminggu lagi.Menurutnya lagi cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Penang Bridge Sdn Bhd, pengendali jambatan itu, dalam satu mesyuarat khas awal minggu depan.

"Lebih 140,000 kenderaan dijangka menggunakan Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13.5 km itu, berbanding 70,000 pada hari biasa semasa musim perayaan, "Jika laluan menghala ke tanah besar mengalami kesesakan teruk sementara laluan masuk ke pulau bergerak lancar, kita akan membuka satu lorong di laluan kontra di bahagian itu dan begitulah sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Sikap XIII sempena perayaan Aidilfitri peringkat Pulau Pinang di Tol Juru di sini oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Negeri, Datuk Koay Kar Huah.


Thursday, October 4, 2007

Mayat Anak Nelayan Yang Hilang Ditemui

BALIK PULAU - Mayat Muhamad Aswad yang terjatuh ke laut bersama bapanya, Johari Saad ditemui kira-kira jam 3.15 petang semalam di perairan Mukahead, Teluk Bahang,Pulau Pinang oleh sekumpulan nelayan pukat tunda yang menangkap ikan di situ.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengahari Sabtu lalu, Johari Saad, 44 tahun seorang pesara tentera, yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu hilang selepas dikatakan cuba menyelamatkan anaknya Mohd Aswad, 18 tahun, yang terjatuh ke dalam laut selepas dipukul ribut kencang ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan kira-kira tiga kilometer dari jeti pendaratan ikan di Kampung Tepi Sungai, Kuala Muda.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat telah diberhentikan serta merta setelah kedua mangsa dijumpai.

Wednesday, October 3, 2007

Mahdzir Arah JPS Kaji Punca Banjir Di Pendang

ALOR STAR - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri mengkaji sistem saliran dan perparitan di Pendang untuk mengenalpasti punca daerah itu sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

"Beberapa buah kampung dilanda banjir pertengahan bulan lepas dan kini banjir sekali lagi. Saya mahu JPS mengkaji dan mengenalpasti punca banjir itu dan selesaikan masalah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehingga tengah hari ini 160 orang dari sembilan buah kampung dan dua pondok agama dipindahkan sejak semalam berikutan banjir setelah hujan lebat turun selama dua hari sejak Isnin.

Mereka adalah penduduk sekitar Pondok Batu Hampar, Pondok Haji Husin, Seberang Pekan Pendang, Kampung Seberang Pendang, Kampung Seberang Tanah Merah, Kampung Alor Ali, Kampung Rambai, Kampung Lubuk Gajah, Kampung Suka Mari, Kampung Banggol Kambing dan Kampung Banggol Besi.

Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di Kompleks Rakan Sukan Tanjung Radin, Pendang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pendang yang dihubungi berkata air Sungai Pendang masih berada pada paras 3.3 meter melebihi paras normal 2.7 sehingga tengahari ini dan melimpah menyebabkan banjir melanda kampung tersebut naik dengan cepat.(BERNAMA)

Tuesday, October 2, 2007

Pendang dilanda banjir

ALOR STAR - Pendang dilanda banjir bagi kali kedua dalam tempoh dua minggu apabila tiga buah kampung di tepi Sungai Pendang dinaiki air menyebabkan seramai 20 orang dari lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Kompleks Rakan Sukan di Tanjung Radin, malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir, mangsa tersebut ialah satu keluarga seramai lima orang dari Kampung Suka Mari, Air Putih; sembilan orang (3 keluarga) dari Kampung Banggol Kambing, Mukim Padang Pusing; dan enam orang (satu keluarga) dari Kampung Banggol Besi, Mukim Guar Kepayang.

Semua mangsa tersebut dipindahkan antara pukul 11 hingga 12 malam tadi apabila air mula mencecah kira-kira 0.3 meter dalam rumah mereka berikutan hujan lebat sejak petang semalam, katanya.

Jurucakap itu berkata paras air Sungai Pendang mencatat 2.95 meter melebihi paras bahaya 2.7 meter pada pukul 12 tengah hari ini.

Beliau menjangkakan lebih ramai mangsa akan dipindahkan hari ini walaupun hujan telah berhenti pada tengah hari.(BERNAMA)

Monday, October 1, 2007

Mayat Nelayan Dituntut


Sungai Petani, Kedah - Susulan kejadian nelayan lemas di Kuala Muda 29hb September lalu.Suasana sedih dan pilu menyelubungi perkarangan rumah mayat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani yang dipenuhi dengan kaum keluarga dan sahabat handai Johari Saad, 44 tahun, nelayan yang hilang di laut sejak empat hari lalu sebelum mayatnya dijumpai petang semalam.

Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 4 petang oleh sekumpulan nelayan yang keluar mencari dalam keadaan laut yang bergelora dan dibawa ke pantai untuk diserahkan kepada pihak polis pada jam 5.30 petang sebelum di bawa ke HSAH untuk bedah siasat.

Walaupun operasi menyelamat daripada pasukan penyelamat terpaksa ditangguhkan sepanjang hari semalam disebabkan keadaan laut yang berbahaya, beberapa kumpulan nelayan tetap meneruskan usaha mencari rakan mereka itu dengan menggunakan bot yang lebih besar.

Allahyarham Johari yang merupakan seorang pesara tentera meninggalkan seorang balu Ramlah Mohd Yusuf, 37 tahun dan empat orang anak yang berusia antara 6 bulan hingga 17 tahun.

Seorang lagi anak mangsa, Aswad Johari, 18 tahun yang hilang bersamanya ketika pulang daripada menangkap ikan Sabtu lalu masih lagi belum ditemui.

Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Derhaka, Kuala Muda dikhuatiri hilang di laut bersama dengan anak sulungnya selepas tidak pulang ke rumah sehingga jam 2 petang sepertimana kebiasaannya.

Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Derhaka malam tadi.

Nelayan Hilang Ditemui Mati

Kuala Muda, Kedah - Mayat Johari Saad, 44 tahun telah ditemui oleh beberapa nelayan yang meneruskan operasi mencari petang tadi.Mangsa ditemui pada pukul 4 petang dan di dibawa ke Jeti Kuala Muda pada pukul 5.30 petang oleh nelayan terbabit.Mayat Johari diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengahari Sabtu lalu, Johari Saad, 44 tahun seorang pesara tentera, yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu hilang selepas dikatakan cuba menyelamatkan anaknya Mohd Aswad, 18 tahun, yang terjatuh ke dalam laut selepas dipukul ribut kencang ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan kira-kira tiga kilometer dari jeti pendaratan ikan di Kampung Tepi Sungai, Kuala Muda.

Laut Bergelora,OPS Mencari Mangsa Ditangguh

Kuala Muda, Kedah - Operasi menyelamat yang masuk hari ketiga pada hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak mengizinkan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, PB1 Sakumoning Hj Ismail yang ditemui di tempat operasi menjelaskan operasi yang sepatutnya bermula jam 9.30 pagi tadi terpaksa ditangguhkan setelah mendapat arahan daripada pihak Polis Marin yang tidak membenarkan bot-bot kecil turun ke laut disebabkan keadaan laut yang bergelora.

Menurutnya lagi, 2 pegawai bersama dengan 10 anggota daripada Balai Bomba Sungai Petani dan Tikam Batu yang terlibat dalam operasi tersebut hanya menjalankan operasi meninjau di sekitar pantai berhampiran.

Operasi menyelamat tersebut juga turut disertai Pasukan JPA 3 dari Butterworth, Pulau Pinang yang menghantar 2 pegawai bersama dengan 15 anggota bagi membantu mempercepatkan operasi mencari mangsa lemas terbabit.

Sebanyak 5 buah bot penyelamat digunakan dalam operasi tersebut.

Tinjauan Harian Utara di kawasan tersebut setakat jam 4.00 petang tadi mendapati anggota-anggota penyelamat hanya diletakkan dalam keadaan bersedia disebabkan keadaan laut yang masih bergelora dan agak berbahaya kepada bot-bot kecil.

Walau bagaimanapun, beberapa kumpulan nelayan tetap meneruskan usaha mencari dengan menggunakan 4 buah bot yang lebih besar dan keluar menjalankan operasi sejak pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengahari Sabtu lalu, seorang pesara tentera, Johari Saad, 44 tahun yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu hilang selepas dikatakan cuba menyelamatkan anaknya Mohd Aswad, 18 tahun, yang terjatuh ke dalam laut selepas dipukul ribut kencang ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan kira-kira tiga kilometer dari jeti pendaratan ikan di Kampung Tepi Sungai, Kuala Muda.

Sebagai rekod, kejadian seumpama itu merupakan kejadian yang kedua berlaku dalam bulan tersebut selepas seorang nelayan, Zakaria Abd Rahman ditemui mati lemas selepas botnya karam dipukul ribut juga di kawasan yang sama pada 16 September lalu.